Permulaan
sesuatu pengakhiran atau pengakhiran sesuatu permulaan? Ingin aku akhiri
keributan akal fikiranku selama ini yang telah aku benarkan menghantui hidupku
selama satu dekad panjangnya. Betapa banyaknya masa yang telah aku bazirkan.
Betapa banyaknya jiwa-jiwa yang telah aku abaikan kerana aku leka dalam lemas
jiwa dan fikiranku sendiri. Raksasa kelam itu telah kubiarkan bermaharajalela
dalam kehidupanku. Membiarkan diri sendiri diambang kesedihan berpanjangan,
menyalahkan segala yang berlaku, menyalahkan nasib, menyalahkan takdir
menyalahkan dunia dan menyalahkan diriku sendiri. Aku biarkan diriku terpempan
dengan kegemilangan masa dahulu, kehilangan jiwa yang aku sanjungi.
Sepanjang aku
membiarkan diriku kelemasan sendiri, satu persatu manusia membiarkan aku pergi.
Kerana dahulu akulah yang memegang setiap yang berada disisiku. Aku yang
sentiasa berada disisi mereka. Namun mengapa di kala aku kelemasan, tiada
tangan yang dihulur? Mengapa setiap manusia hanya melihat kepayahan sendiri
tanpa mempedulikan perasaan insan yang sentiasa memaksikan mereka di kala
kerenyahan? Mungkin kerana itu aku terus hanyut, kerana harapanku kepada
manusia. Tuhan, maafkan aku. Aku alpa. Aku leka.
Kini aku perlu
bangkit dari koma. Aku perlu bertatih semula tanpa lelah. Seperti mana cekalnya
aku sewaktu kecil belajar berjalan kerna ingin menggapai sesuatu yang aku tahu
tidak mampu aku gapai dengan jari jemari kecil itu, begitulah perlunya aku
mencari kecekalan itu. Indahnya menjadi anak kecil yang suci polos tanpa noda.
Apa yang dihadapannya itulah hidupnya. Apabila sedih menangis, apabila gembira
ketawa. Tiada keperluan menyembunyikan perasaan. Aku harus belajar untuk hidup
semula. Aku mampu. Ya! Aku Mampu!