Sunday, October 4, 2020

Bebas

 

Permulaan sesuatu pengakhiran atau pengakhiran sesuatu permulaan? Ingin aku akhiri keributan akal fikiranku selama ini yang telah aku benarkan menghantui hidupku selama satu dekad panjangnya. Betapa banyaknya masa yang telah aku bazirkan. Betapa banyaknya jiwa-jiwa yang telah aku abaikan kerana aku leka dalam lemas jiwa dan fikiranku sendiri. Raksasa kelam itu telah kubiarkan bermaharajalela dalam kehidupanku. Membiarkan diri sendiri diambang kesedihan berpanjangan, menyalahkan segala yang berlaku, menyalahkan nasib, menyalahkan takdir menyalahkan dunia dan menyalahkan diriku sendiri. Aku biarkan diriku terpempan dengan kegemilangan masa dahulu, kehilangan jiwa yang aku sanjungi.

Sepanjang aku membiarkan diriku kelemasan sendiri, satu persatu manusia membiarkan aku pergi. Kerana dahulu akulah yang memegang setiap yang berada disisiku. Aku yang sentiasa berada disisi mereka. Namun mengapa di kala aku kelemasan, tiada tangan yang dihulur? Mengapa setiap manusia hanya melihat kepayahan sendiri tanpa mempedulikan perasaan insan yang sentiasa memaksikan mereka di kala kerenyahan? Mungkin kerana itu aku terus hanyut, kerana harapanku kepada manusia. Tuhan, maafkan aku. Aku alpa. Aku leka.

Kini aku perlu bangkit dari koma. Aku perlu bertatih semula tanpa lelah. Seperti mana cekalnya aku sewaktu kecil belajar berjalan kerna ingin menggapai sesuatu yang aku tahu tidak mampu aku gapai dengan jari jemari kecil itu, begitulah perlunya aku mencari kecekalan itu. Indahnya menjadi anak kecil yang suci polos tanpa noda. Apa yang dihadapannya itulah hidupnya. Apabila sedih menangis, apabila gembira ketawa. Tiada keperluan menyembunyikan perasaan. Aku harus belajar untuk hidup semula. Aku mampu. Ya! Aku Mampu!

No comments:

Post a Comment